Pentadbiran (Administration) dan Pengurusan Sumber Manusia (HRM)


PENGENALAN


Asas Pentadbiran Awam ini memberi tumpuan kepada pentadbiran awam dalam konteks amalan di Malaysia. Pentadbiran ialah perlaksanaan sesuatu tugas yang telah ditetapkan ke arah mencapai matlamat tertentu. Contohnya, pentadbiran sesebuah negara adalah bertujuan mencapai kesejahteraan ekonomi, politik, dan sosial.Perkataan pentadbiran dan pengurusan sering menimbulkan kekeliruan,terutamanya dari segi makna dan pemahamannya. Malahan dalam keadaan tertentu, kedua istilah ini di guna secara bertukar ganti.Sebenarnya, terdapat kata kunci yang boleh dikenal pasti bagi menunjukkan perbezaan di antara keduanya. Pengurusan didefinisikan sebagai satu proses yang menyatukan sumber-sumber dan menggunakannya melalui proses-proses perancangan, pengorganisasian, penstafan, pengarahan, pengawalan, dan belanjawan, ke arah pencapaian matlamat sesebuah organisasi. Proses pengurusan melibatkan penyelarasan berbagai aktiviti untuk mendapat hasil yang tidak mampu dicapai oleh individu yang bertindak secara sendirian. Untuk memudahkan lagi pemahaman, kita mengambil contoh pentadbiran yang bertujuan mencapai kesejahteraan negara. Dalam usaha mencapai matlamat kesejahteraan tersebut, sumber manusia dan kewangan perlu diurus dengan cekap dan berkesan.
 
Pembangunan sumber manusia ditakrifkan sebagai satu usaha untuk melatih dan membimbing sumber manusia di dalam sesebuah organisasi. Ia bertujuan untuk mencapai tahap kecekapan dan kepakaran serta mempunyai kemahiran bagi disumbangkan kepada organisasi semula. Sementara itu, pengurusan sumber manusia pula ditakrifkan sebagai usaha pengurusan yang bersistematik di dalam sesebuah organisasi bagi memastikan kehendak-kehendak organisasi dicapai. Pengurusan sumber manusia adalah struktur penting dalam sesebuah organisasi terutama persekitaran yang menonjolkan persaingan kepada pihak pengurusan yang mula sedar akan kemasukan teknologi. Walau bagaimanapun kejayaan organisasi tidak dapat dicapai melalui kecanggihan teknologi sebaliknya sumber manusia akan menentukan sama ada kejayaan atau kegagalan dalam sesebuah organisasi.


Pentadbiran

Pentadbiran awam didefinasikan sebagai segala proses, organisasi, dan individu yang terlibat dalam perlaksanaan undang-undang dan peraturan yang diputuskan atau dikeluarkan oleh badan perundangan, eksekutif dan kehakiman, di samping terlibat dalam proses penggubalan undang-undang dan peraturan yang berkenaan.

Definisi lain mengatakan pentadbiran awam sebagai satu operasi pengeluaran barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi kehendak rakyat. Ini juga selari dengan pendapat yang melihat pentadbiran awam sebagai perlaksanaan atau menjalankan urusan kerajaan demi mencapai matlamat memberikan perkhidmatan untuk memenuhi kehendak dan cita rasa rakyat.

Terdapat dua definisi Klasik yang mengatakan Pentadbiran sebagai:-
a) Sebuah organisasi yang mengurus manusia dan benda-benda untuk mencapai tujuan-tujuan kerajaan atau sesebuah oganisasi.

b) Satu `seni sains pengurusan' sebagaimana yang dapatdikaitkan dengan hal ehwal sebuah negeri atau Negara

Oleh yang demikian, jelas bahawa pentadbiran awam adalah sebuah badan yang akan melaksanakan pentadbiran negara, melalui dasar-dasardan peraturan yang diwujudkan oleh kerajaan dalam sesebuah negara.Untuk mencapai matlamat pentadbiran, segala aktiviti dan sumber yang digunakan adalah diurus melalui dua bentuk pengurusan, iaitu Pengurusan awam dan pengurusan swasta.


Pengurusan Awam

Pengurusan awam adalah satu proses menyatukan sumber-sumber dan menggunakannya melalui aktiviti dan proses ke arah mencapai matlamat kebajikan sosial. Pengurusan awam biasanya bermotifkan kebajikan (social service-oriented) dan kurang mementingkan keuntungan. Ia berperanan melaksanakan polisi-polisi awam secara langsung dan keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan dari semasa ke semasa. Oleh itu, pengurusan awam terletak di bawah kawalan secara langsung oleh kerajaan. Pengurusan awam juga biasanya dikenali sebagai perkhidmatan awam.


Pengurusan Swasta

Pengurusan swasta adalah satu proses menyatukan sumber-sumber dan menggunakannya melalui aktiviti dan proses ke arah mencapai matlamat organisasi. Pengurusan swasta ini biasanya mementingkan keuntungan (profit-oriented) Pengurusan swasta berada di luar kawalan langsung kerajaan. Konsep pengurusan swasta perlu mengikut garis panduan ataupolisi-polisi kerajaan, tetapi dalam menjalankan operasi ia lebih mengikut keputusan yang dibuat sendiri melalui Lembaga Pengarah ataupun pemegang-pemegang syer organisasi tersebut. Individu yang terlibat dalam pengurusan awam dan swasta dikenali sebagai pentadbir dan pengurus. Adakah anda tahu dan faham perbezaan antara pentadbir dan pengurus? Mari kita lihat perbezaan kedua-dua istilah ini:


Pentadbir  (Administrator)

Seseorang pentadbir awam wajar `melakukan sesuatu yang sepatutnya (Do right things). Ini disebabkan oleh segala tindakan yang dilakukan oleh seorang pentadbir awam adalah berdasarkan apa yang telah ditetapkan oleh pihak yang berautoriti dan bertanggungjawab. Contohnya, segala tindakan seorang pegawai awam mestilah berdasarkan polisi-polisi dan peraturan seperti akta, prosedur (tatacara), pekeliling, dan arahan.Seseorang pegawai awam hanya boleh bertindak dalam bidang kuasanya (intra-vires) walaupun tindakan yang diambil itu adalah tidak popular kepada kumpulan sasaran. Pegawai-pegawai awam mempunyai laluan kerjaya yang agak terhad kerana ditentukan berdasarkan senioriti.

Pengurus ( Manager )

Pengurus lebih merujuk kepada pentadbir di sektor swasta. Seseorang pengurus biasanya mengatur sumber-sumber mengikut kehendak dankeperluan organisasi (do things right). Ini disebabkan dalam sektor swasta, pengurus-pengurus lebih mempunyai autonomi untuk membuat keputusan yang akan memberi keuntungan kepada organisasi. Biasanyakuasa seseorang pengurus tiada had demi kebaikan organisasi.Dalam sektor swasta tidak ditekankan konsep melebihi bidang kuasa (ultra-vires). Seseorang pengurus boleh menunjukkan kebolehan dan kreativiti untuk menyumbangkan idea-idea yang boleh member keuntungan kepada organisasi. Pengurus-pengurus sektor swasta biasanya mempunyai laluan kerjaya yang lebih baik, kerana peningkatan dalam kerjaya mereka lebih didasarkan kepada kemahiran, pengetahuandan keupayaan (skills, knowledge, and abilities). 

 
Kesimpulannya sumber manusia merupakan sumber terpenting bagi organisasi untuk mencapai matlamat penubuhannya, Ini kerana tanpa sumber manusia yang cekap, berkebolehan, dan berkaliber sesebuah organisasi tidak dapat digerakkan walau terdapat peralatan canggih dan berinovasi tinggi. Oleh itu organisasi harus dapat menyediakan satu aktiviti pengurusan yang cekap. Pengurusan yang cekap hanya di dapati melalui pendekatan dan pengkajian yang sistematik, terperinci dan empirik.